Pages

Sunday, October 2, 2011

Prinsip-Prinsip Pemilihan Bahan-bahan Pengajaran


Prinsip-Prinsip Pemilihan Bahan
a)    Bahan mestilah berkaitan dengan matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran. Pemilihan bahan-bahan pengajaran harus menitikberatkan objektif pembelajaran para pelajar. Objektif harus ditentukan dahulu, selaras dengan tujuan keseluruhan program pengajaran, dan kemudian bahan-bahan diolah dan dipilih supaya ianya sesuai dan berhubung dengan objektif tersebut. Tujuan program pengajaran haruslah menentukan bahan-bahan yang akan digunakan dan bukan sebaliknya.

b)    Bahan haruslah mengandungi unsur-unsur yang berkaitan dengan Falsafah Pendidikan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah bertujuan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian
 dan kemakmuran masyarakat dan Negara.
Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang dipilih sepatutnya mestilah boleh membantu pelajar untuk memperkembangkan potensi mereka. Ini bermakna, bahan-bahan itu haruslah mengandungi unsur-unsur intelek(pengetahuan) dan nilai-nilai murni yang dipercayai Dapat mewujudkan insan yang boleh bertindak dan berfikir secara dewasa. Pemilihan bahan-bahan haruslah bermatlamatkan kepada pendidikan dan pembentukan individu yang menyeluruh dan bersepadu.
c)    Guru harus sedar akan kegunaan bahasa dan pilih bahan-bahan pengajaran yang boleh melengkapkan pelajar untuk menggunakan bahasa itu secara efektif. Pengajaran guru mestilah mengambil kira apa yang hendak dipelajari oleh setiap orang pelajar, iaitu apa yang mereka akan lakukan dengan ilmu yang telah diperolehi setelah tamat belajar. Pelajar-pelajar perlu dibimbing untuk menyedari bahawa pembelajaran dan aktiviti-aktiviti di sekolah adalah sebahagian daripada kehidupan mereka. Sesungguhnya amat merugikan jikalau pelajaran yang dipelajari itu hanya tinggal dibangku sekolah sahaja dan tidak ada pertaliannya dengan kehidupan seharian.
Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, apa yang perlu diperhatikan ialah perbezaan di antara pengelibatan dalam latih tubi bahasa, berdialog atau main peranandi satu bahagian dan satu bahagian lagi kebolehan menggunakan dalam situasi yang sebenar Seperti kebolehan melahirkan pendapat dan perasaan tentang keadaan dan kejadian sebenar kepada seseorang apabila berhubung. Pelajar yang melibatkan diri dalam teknik simulasi di bilik darjah dan boleh pula mengaitkannya dengan proses interaksi dan mengeluarkan pendapat adalah contoh yang sebenar aktiviti komunikasi.
Pada akhir pembelajaran nanti, pelajar-pelajar akan tahu bagaimana Bahasa Malaysia boleh berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan, dan bahasa untuk berkomunikasi. Oleh itu, pelajar-pelajar harus diperkenalkan dengan aspek sintaksis dan semantik dalam situasi untuk membolehkan mereka faham akan penggunaannya. Semasa penyampaian bahan pengajaran dilakukan, aktiviti yang dipelbagaikan harus diwujudkan supaya pelajar-pelajar mendapat latihan yang cukup untuk menggunakan satu-satu struktur itu dalam situasi yang sebenar. Dalam latihan ini, pelajar-pelajar digalakkan mengeluarkan pendapat sendiri.

d)    Guru hendaklah memikirkan tentang keperluan belajar para pelajar. Keperluan belajar pelajar-pelajar di sini bukanlah bermaksud bahasa itu dipelajari sebagaimana ia dipilih, digred dan dipersembahkan serta diamalkan, tetapi ianya disampaikan dalam bentuk supaya para pelajar dapat menambah pengetahuannya dari semasa ke semasa. Untuk mewujudkan satu pembelajaran yang berkesan dan licin, para pelajar mestilah diperkenalkan dengan unit-unit pembelajaran. Unit-unit pembelajaran ini walaupun sedikit, tetapi harus mengandungi benda-benda baru. Selain daripada itu, unit-unit pembelajaran tadi mestilah berkaitan antara satu sama lain. Pelajar-pelajar boleh mengembangkan pengetahuan mereka dengan mengaitkan apa yang dipelajari itu dengan pengalaman atau pengetahuan yang diperolehi daripada pelajaran-pelajaran yang lalu.
Keperluan belajar sebenarnya tidak terhad kepada pertimbangan-pertimbangan terhadap bahasa tetapi para pelajar memerlukan juga keperluan-keperluan intelek dan emosi. Pembelajaran bahasa bukanlah mudah. Pelajar-pelajar memerlukan galakan, motivasi dan pelbagai rangsangan yang lain. Ini sebahagian besarnya adalah tugas guru, tetapi bahan-bahan pengajaran boleh membantu dengan menggunakan perkara-perkara yang dirangsang secara intelektual. Satu lagi perkara yang perlu diingat oleh guru-guru ialah bahan-bahan mestilah boleh digunakan untuk sesi pengajaran secara kelas, berkumpulan dan individu. Ini adalah kerana, pelajar-pelajar juga harus dilayan secara individu dan sebagai ahli kumpulan bergantung kepada beberapa faktor, termasuklah jenis latihan yang mereka jalankan, kemahiran yang sedang dilakukan atau strategi pembelajaran yang diperuntukkan kepadanya.  

e)    Guru hendaklah memikirkan tentang perkaitan antara aspek bahasa, proses pembelajaran dan pelajar. Ketiga-tiga aspek ini adalah penting dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Ketiga-tiganya mestilah ditekankan sama rata. Bahan-bahan pengajaran tidak sepatutnya hanya menekankan kepada aspek-aspek bahasa dan penggunaannya tetapi harus juga mengambil kira tentang perkembangan pelajar. Namun begitu patutlah diketahui, tiada satupun cara belajar yang terbaik dan biasanya para pelajar menggunakan strategi pembelajaran yang berlainan, kerap menukar strategi dari semasa ke semasa.
Pendekatan yang baru dalam proses pembelajaran sekarang lebih cenderung berpusatkan individu, iaitu yang berkaitan dengan kehendak dan emosi seseorang dan tidak menumpukan perhatian kepada gejala-gejala yang menghalang pembelajaran. Namun begitu, proses pembelajaran, walaupun menarik tidak dapat membantu pelajar melainkan jika diamalkan dengan cara yang sistematik dan komprehensif. Aktiviti-aktiviti jika diwujudkan janganlah hanya sekadar untuk mewujudkan suasana gembira, tetapi harus mengambil kira nilainya sebagai latihan-latihan pembelajaran bahasa. Memanglah perkara-perkara yang dilakukan oleh pelajar-pelajar kita di dalam kelas itu menarik dan menyeronokkan(enjoyable) tetapi mereka seharusnya dirawat dari segi potensi pengajaran bahasa mereka.
f)     Guru hendaklah menggunakan penggerak pelajar-pelajar untuk memudahkan pembelajaran mereka. Pelajar yang mempunyai enggerak untuk mempelajarai sesuatu akan dapat mempelajarinya dengan lebih mudah jika dibandingkan dengan mempelajari sesuatu yang tidak diminatinya. Penggerak yang berkesan Atimbul daripada keperluan yang ditunjukkan oleh minat murid. Walaupun manusia belajar untuk tujuan memenuhi keperluan hidup tetapi minat terhadap perkara-perkara yang belum diketahuinya dapat ditimbulkan dengan mengaitkan perkara itu dengan perkara-perkara yang diminatinya. Oleh sebab itu, guru hendaklah memulakan pengajarannya dengan perkara-perkara yang telah diketahui oleh para pelajar dan dari situ membawa kepada perkara-perkara yang lebih mendalam yang menguatkan minat dan keperluan sedia ada.


No comments:

Post a Comment