Pages

Sunday, October 2, 2011

MENGENAI BAHAN BANTU MENGAJAR


Mengenai bahan bantu mengajar


Kanak-kanak sejak dilahirkan telah mewarisi asas-asas kecerdasan. Kecerdasan ini membolehkan mereka belajar dan menyesuaikan diri dengan alam sekeliling mereka. Asas-asas kecerdasan ini perlu diperkaya dengan alam sekeliling yang baik supaya ianya dapat berkembang dengan sebaik-baiknya. Biasanya, asas kecerdasan yang tinggi , jika dipengaruhi oleh alam sekeliling yang tidak memuaskan, maka sukar bagi kita untuk melahirkan perkembangan kecerdasan yang mencapai peringkat optimum. Walaupun kanak-kanak sewaktu lahirnya itu tidak mempunyai pengalaman tetapi semenjak saat  tersebut mereka sentiasa diserbui oleh pelbagai rangsangan daripada alam sekeliling mereka. Dengan asas-asas yang diwarisinya inilah dan dengan pertolongan pancaindera, mereka mula menganggap dan memproses rangsangan-rangsangan itu ke dalam sistem yang bermakna.
            Pembelajaran memerlukan rangsangan dan kecerdasan pemikiran. Rangsangan yang diterima daripada alam sekeliling menjadi bahan untuk diproses oleh kecerdasan dan yang kemudiannya akan lahir sebagai pengetahuan dan pengalaman. Sungguhpun rangsangan dalam alam sekeliling ini amat banyak tetapi tidak semua rangsangan itu dapat diterima atau ditanggapi oleh manusia. Rangsangan yang sukar ditanggap tidak akan dapat diproses dan tidak akan menjadi pengalaman. Oleh yang demikian, kecerdasan walau bagaimana baik pun ia, jika kurang mendapat rangsangan, ianya tidak akan menghasilkan perkembangan kecerdasan dan pengalaman yang berkesan.
            Berdasarkan hakikat inilah, peranan guru dalam menentukan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran sangat penting. Ini adalah kerana bahan-bahan itu merupakan media yang mampu mewujudkan rangsangan dan yang kemudiannya akan bertindak memperkembang kecerdasan dan pengalaman. Guru-guru disarankan supaya dapat menyusun dan merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka dengan baik, terutamanya dari segi pemilihan, penyesuaian dan penggunaan bahan-bahan pengajaran, kerana inilah di antara aspek yang memberi kesan terhadap prestasi para pelajar.
 Kad-kad untuk mengenal huruf


 Teater anak patung
Latar Belakang Penggunaan Bahan-Bahan Pengajaran
Di sekolah-sekolah kini, bahan-bahan pengajaran yang lazim digunakan oleh guru-guru adalah diambil daripada bahan-bahan yang terdapat daripada buku-buku teks, bahan-bahan tambahan daripada jabatan-jabatan tertentu dalam Kementerian Pendidikan Negeri, Daerah dan lain-lain. Walau bagaimanapun, selain daripada bahan-bahan binaan sendiri, bahan-bahan pengajaran yang sering dan paling utama digunakan oleh guru-guru ialah bahan-bahan daripada buku-buku teks.
            Penggunaan buku-buku teks telah menjadi amalan biasa dan tradisi bagi sesetengah guru. Kebanyakan mereka menganggap jumlah buku-buku teks yang ada dan yang boleh digunakan di sekolah-sekolah terlalu banyak dan tidak perlu lagi mereka mencari bahan-bahan daripada sumber-sumber lain. Buku-buku teks dalam andaian lain sudah lebih dari mencukupi. Anggapan seperti ini sebenarnya memanglah kurang wajar kerana seperti yang kita semua sedari, buku-buku teks itu sendiri mempunyai kelemahan-kelemahannya yang tersendiri. Perbuatan terlalu bergantung kepada teks kadangkala boleh menjejaskan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
            Sebenarnya, kedudukan teks, kebiasaan dan kecenderungan menggunakan teks bahasa dalam pendidikan, pengajaran dan pembelajaran seperti itu bukanlah satu cara yang baik untuk diamalkan dan dikekalkan. Penggunaannya melalui cara yang lebih luas dan kepelbagaian kegiatan amat diperlukan. Dengan itu, pengajaran bahasa akan memberi kesan yang lebih baik, menarik hati pelajar dan dapat mengurangkan masalah yang timbul.

No comments:

Post a Comment